Followers:

Sep 2, 2015

Semua orang melakukan kesilapan

 

Setiap hari kita tidak lari dari melakukan kesilapan. Kalau bukan kita yang melakukan kesilapan, mungkin orang lain yang melakukan kesilapan terhadap kita, atau mungkin juga orang lain yang melakukan kesilapan terhadap orang-orang terdekat kita. Pendek kata, semua orang tidak lari dari melakukan kesilapan. Ini menunjukkan bahawa manusia yang dilahirkan tidak sempurna, terkadang lalai dan alpa dalam perlakuan.

Walaupun hakikatnya kita tahu tiada manusia yang sempurna, kita masih tidak dapat menerima kesilapan yang dilakukan oleh orang lain. Apabila orang lain melakukan kesilapan terhadap kita atau orang terdekat kita, kita cepat memberikan persepsi buruk terhadap orang tersebut. Seolah-olah kita dan keluarga kita tidak pernah melakukan kesilapan ketika terlalai. Sedangkan jika kita melakukan kesilapan, bukankah kita juga mengharapkan kemaafan di atas kesilapan kita?
Terkadang kita marah apabila seseorang tidak dapat laksanakan janjinya kepada kita sedangkan kita sendiri pernah terleka untuk tunaikan sebuah janji. Kita mengata orang lain bersolat laju sedangkan kita sendiri kerap lewat dalam bersolat. (Ini hanya beberapa contoh kesilapan yang kerap berlaku dalam kehidupan kita)

Apabila ada orang lain melakukan kesilapan terhadap kita, kita menyalahkan dan menuding kesemua jari kepadanya. Sikap yang selalu menyalahkan orang lain ini yang membutakan hati kita dari mengingati tentang kesilapan diri. Orang seperti ini hanya pandai memandang ke dalam diri orang lain dan tidak pandai memandang ke dalam diri sendiri. Apabila buta dalam menilai diri, maka diri dirasakan baik dan suci sedangkan orang lain jahat dan 'kotor' pada pandangannya.

Sedangkan sekiranya kita cuba bermuhasabah diri, mungkin Allah datangkan orang yang berbuat silap sebagai tanda tarbiyah Allah kepada kita. Sesungguhnya setiap baik dan buruk yang berlaku dalam hidup kita, pasti ada sesuatu yang Allah mahu ajarkan kepada kita. Kerana yang menentukan setiap yang berlaku (baik atau buruk) bukan kita, tetapi Dia.

No comments:

Post a Comment