Followers:

Sep 5, 2015

3 kaedah menyimpan duit tanpa tekanan


Salah satu kriteria mereka yang kaya harta adalah tabiat menyimpan yang konsisten. Maka kita perlu aturkan strategi untuk membina tabiat menyimpan yang konsisten ini.

Menyimpan duit sebenarnya mudah. Tetapi tidak ramai yang mampu mendisiplinkan diri memandangkan nafsu membelanjakan duit itu lebih tinggi daripada nafsu untuk menyimpan. Di sini saya kongsikan tiga (3) kaedah menyimpan duit yang mudah dan tanpa tekanan untuk anda. Moga bermanfaat.

Kaedah #1

Letakkan target nilai duit yang anda mahu gunakan untuk menyimpan. Contoh: Duit kertas bernilai RM5. Setiap kali anda dapati terdapat duit kertas bernilai RM5 di dalam purse atau wallet anda, jangan digunakan duit tersebut. Tetapi asingkan dan masukkan duit tersebut ke dalam tabung simpanan yang telah anda sediakan. Sekiranya terdapat 3 keping duit kertas bernilai RM5, masukkan ketiga-tiga keping wang tersebut ke dalam tabung.

Ingatkan dalam diri bahawa anda dilarang sama sekali menggunakan duit RM5 itu untuk berbelanja dan lain-lain perkara. Sekiranya anda terpaksa menggunakannya di atas sebab-sebab tertentu, anda perlu menggantikan duit tersebut dengan amaun dua kali ganda.

Kaedah #2

Kaedah ini memerlukan 3 perkara / benda sahaja iaitu pen, kalendar dan tabung untuk menyimpan duit. Digalakkan untuk meletakkan ketiga-tiga perkara ini di tempat yang senang untuk dilihat seperti di hadapan cermin, di sebelah televisyen atau di tempat letak kunci kereta.

Kaedah ini digalakkan untuk dimulai pada awal bulan iaitu pada 1 haribulan bagi setiap bulan. Pada 1hb, anda masukkan duit berjumlah RM1 ke dalam tabung. Selepas itu tandakan right pada kalendar yang anda sediakan sebagai tanda bahawa anda telah menyimpan duit pada hari itu.

Pada 2hb pula, anda perlu masukkan duit berjumlah RM2 ke dalam tabung. 3hb masukkan duit berjumlah RM3, 4hb pula masukkan duit berjumlah RM4 dan begitulah seterusnya. Pendek kata, jumlah simpanan untuk sehari adalah mengikut kepada tarikh pada hari-hari tersebut.

Sekiranya anda konsisten dalam menyimpan duit setiap hari, anda telah berjaya menyimpan duit selama sebulan sebanyak RM465 (untuk bulan yang mempunyai 30 hari).

Di sini saya sertakan cara kiraan untuk sebulan bagi gambaran yang lebih jelas:
RM1 + RM2 + RM3 + RM4 + RM5 + RM6 + RM7 + RM8 + RM9 + RM10 + RM11 + RM12 + RM13 + RM14 + RM15 + RM16 + RM17 + RM18 + RM19 + RM20 + RM21 + RM22 + RM23 + RM24 + RM25 + RM26 + RM27 + RM28 + RM29 + RM30 = RM465

Bagi kaedah ini, anda bebas menggunakan duit kertas atau duit syiling untuk dijadikan simpanan. Apa yang penting adalah jumlah duit itu cukup bagi amaun simpanan yang telah ditetapkan mengikut tarikh pada hari-hari tersebut.

Kaedah #3

Kaedah ini adalah kaedah yang sudah biasa diajarkan oleh ibu bapa kita semenjak kita kecil. Kaedah ini hanya memerlukan anda menggunakan duit syiling sebagai simpanan. Sekiranya terdapat duit syiling di dalam purse atau wallet anda, jangan sesekali digunakan. Tetapi masukkan ke semua duit ini ke dalam tabung simpanan.

Bagi mengelakkan anda menggunakan duit syiling yang anda ada apabila berada di luar rumah, anda digalakkan untuk mengosongkan duit syiling di dalam purse atau wallet sebelum anda keluar daripada rumah. Malah apabila anda pulang dari membeli belah atau dari tempat kerja, segera periksa duit syiling yang terdapat di dalam purse atau wallet anda, dan masukkan ke dalam tabung simpanan. Jadi dengan cara itu, anda tidak akan terguna duit syiling yang sepatutnya dijadikan sebagai duit simpanan.

Seperti yang biasa saya lakukan untuk mendapatkan syiling yang banyak, saya tidak akan menggunakan duit syiling yang terdapat di dalam purse saya untuk tujuan jual beli. Jadi dengan itu, saya akan dapat mengumpulkan lebih banyak duit syiling setiap hari.

Pada pendapat saya, kaedah #3 adalah kaedah yang paling tidak membebankan anda kerana duit syiling adalah nilai yang sangat sedikit berbanding duit kertas. Jadi anda tidak merasa tertekan sekiranya menggunakan duit syiling untuk menyimpan.

4 comments:

  1. Kaedah 3 sy guna sejak kecik sampai masuk u..bila berkahwin kaedah 1 2 dan 3 digunakan..Alhamdulilah mmg berkesan
    dan baru2 ni saya tambah kumpul emas 1g 1 bulan..alhamdulillah .. :)

    ReplyDelete
  2. Singgah pagi...
    Menarik kaedah nyer..:)

    ReplyDelete
  3. singgah sini follow kamu #15

    suka kaedah 2

    jemput ke blog klik baca

    ReplyDelete
  4. singgah dan follow.. jom join blog baru saya. :)

    http://karyalins.blogspot.my/

    ReplyDelete